Sunday 6 January 2013

TAZKIRAH MINGGU INI (T.M.I.): ORANG ISLAM WAJIB MEMILIKI SIKAP YANG BAIK


Orang Islam Wajib Memiliki Sikap Yang Baik
 
Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: “Manusia yang paling dikasihi Allah ialah orang yang  memberi manfaat kepada orang lain dan amalan yang paling disukai oleh Allah ialah menggembirakan hati orang-orang Islam atau menghilangkan kesusahan daripadanya atau menunaikan keperluan hidupnya di dunia atau memberi makan orang yang lapar. Perjalananku bersama saudaraku yang muslim untuk menunaikan hajatnya, adalah lebih aku sukai daripada aku beriktikaf di dalam masjid ini selama sebulan, dan sesiapa yang menahan kemarahannya sekalipun ia mampu untuk membalasnya nescaya Allah akan memenuhi keredhaannya dalam hatinya pada hari Kiamat, dan sesiapa yang berjalan bersama-sama saudaranya yang Islam untuk menunaikan hajat saudaranya itu hinggalah selesai hajatnya nescaya Allah akan tetapkan kakinya (ketika melalui pada hari Kiamat) dan sesungguhnya akhlak yang buruk akan merosakkan amalan seperti cuka merosakkan madu.”
Riwayat Ibnu Abi Dunya
 
Pengajaran hadis:
 
1.    Berbuat baik dan memberi keselesaan kepada orang lain akan diberi ganjaran oleh Allah dengan balasan yang berlipat ganda sama ada berupa pahala, kebaikan dan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.
 
2.    Semua ini akan dapat dilakukan sekiranya seseorang itu mempunyai keimanan dan keikhlasan di hatinya sehingga segala tindakan yang dilakukannya sentiasa melahirkan kebaikan pada dirinya dan dalam hubungannya dengan orang lain serta masyarakat di sekelilingnya.
 
3.    Sekiranya kita berkecenderungan hendak berbuat perkara-perkara yang jahat, janganlah dibiarkan menguasai diri kerana ia akan mencemarkan segala kebaikan yang pernah dilakukan kerana lazimnya kejahatan itu biarpun hanya sekali dilakukan ia mudah dilihat (diketahui) berbanding dengan banyaknya kebaikan yang pernah dilakukan oleh seseorang itu.
 
4.    Sesungguhnya keimanan itu sentiasa terbuka untuk ditingkatkan dan sebaliknya iman akan merosot sekiranya kita melakukan perbuatan maksiat.
 
Pertanyaan dan maklumat lanjut sila hubungi Ustazah Madihah binti Mohamed Ibrahim di talian 04-928 5806.

No comments:

Post a Comment